Renungan

Monday, March 8, 2010

Petir Yang Membakar Bagi Menolak Fahaman Hizbut Tahrir !!

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin


Amma Ba'du,


Maka fakir bawakan Risalah Tahzir (Risalah Peringatan) yang dikeluarkan oleh Qismul Abhas wal Darusah Al-Islamiyah, Darul Masyarik Al-Khairiyah Al-Islamiyyah, Beirut Lubnan iaitu "Bahagian Penyelidikan dan Pengajian Islam , Persekutuan Kebajikan Agama Islam.

Pada m/s 139 :

"Dan antara kesesatan mereka (Hizbut Tahrir) yang besar adalah perkataan mereka, bahawa makhluk menjadikan perbuatannya yang sengaja / ikhtiar dan perbuatan yang tidak sengaja (seperti fahaman Muktazilah..pent)(Tuan-tuan boleh lihat sendiri kitab fundamental mereka iaitu Syakhsiah Islamiyyah yg dikarang oleh pengasas HT sendiri iaitu Taqiyuddin An-Nabhani). Mereka menyalahi firman Allah Ta'ala :

"Allah menjadikan akan tiap-tiap sesuatu" (Az-Zumar :62)

kerana "sesuatu" itu merangkumi jisim dan perbuatan jisim. Dan firman Allah Ta'ala : "Adakah yang menjadikan itu selain daripada Allah?" (Al-Fatir : 3 ), Dan Firman Allah Ta'ala lagi : "Katakanlah (Wahai Muhammad) , sesungguhnya sembahyang aku, ibadatku, hidupku, matiku adalah milik bagi Allah, Tuhan sekalian Alam, dan "Tidak ada sekutu bagi Allah" (Al-An'am :162 - 163).

Ayat ini membuktikan bahawasanya Allahlah yang telah menjadikan seluruh sembahyang dan ibadat, sedangkan kedua-duanya (yakni sembahyang dan ibadat) itu adalah merupakan perbuatan hamba yang sengaja, manakala mati dan hidup adalah bukan dari perbuatan hamba yang sengaja, kedua-duanya (perbuatan sengaja dan tidak sengaja) adalah dijadikan Allah Ta'ala, tiada sekutu bagi Allah akan sesuatu pun yang menjadikan perkara ini, iaitu pada menjadikan yang demikian itu, iaitu daripada Adam (tidak ada) kepada wujud (Ada).

Ayat di atas tadi menunjukkan bahawa setiap perkara yang wujud, sama ada daripada jisim, pergerakan, diam, warna, fikiran, kehendak, sakit, lazat, faham, lemah, dan dhaif dan dll; tiap-tiap yang demikian itu adalah Allah yang jadikan, tiada lagi yang menjadikan perkara-perkara tersebut selain daripada Allah.

Hamba hanya melakukan pada zahir, tetapi mereka tidak sekali-kali menjadikan perbuatan mereka pada hakikat. Perkara ini adalah apa yang telah diijma'kan oleh orang islam dan Jumhur Ulamak , pada zaman dulu hinggalah hari ini.

Antara ayat-ayat Al-Quran yang menunjukkan bahawa hamba tidak menjadikan perbuatannya sendiri secara mutlak, sama ada yang ikhtiar mahupun yang bukan ikhtiar, iaitu Firman Allah Ta'ala :

"Bukan kamu yang membunuh mereka, tetapi Allah lah yang membunuh mereka" (Al-Anfal :17)

Kita sedia maklum bahawa ada para sahabat yang berperang, dan melakukan pembunuhan. Namun, Allah menafikan daripada mereka, bahawa sesungguhnya mereka telah membunuh dari segi hakikat, kerana perbuatan membunuh yang dibuat oleh para sahabat itu adalah berhasil, akan tetapi pembunuhan itu bukanlah mereka yang jadikan (pada hakikat). Perbuatan membunuh pada zahirnya nampak seperti para sahabat yang buat, tetapi sebenarnya Allah lah yang menjadikan perbuatan para sahabat itu, iaitu daripada tiada kepada ada.

Kemudian Allah SWT berfirman seperti ayat tadi : "Bukan engkau yang melontar (wahai Muhammad ) , tetapi Allah lah yang melontar" (Al-Anfal : 17). Bahawasanya Allah SWT menafikan perbuatan melontar yang dilakukan Rasulullah SAW daripada sudut hakikat, dan bahawasanya Allah lah yang menzahirkan (perbuatan melontar oleh rasulullah SAW) daripada adam/tiada kepada wujud/ada, iaitulah Allah lah yang menafikan perbuatan melontar itu dari satu sudut, dan Allah sabitkan / tetapkan pula perbuatan melontar itu dari satu sudut yang lain, iaitu Allah menafikan kerja melontar itu makhluk bagi manusia, yakni perbuatan melontar itu bukan kerja makhluk yang jadikan, bukan makhluk yang gerakkan, tetapi hanya boleh dikatakan bahawa makhluk mempunyai ikhtiar pada sudut zahir sahaja.

Maka Hizbut Tahriri telah menyalahi maksud kedua-dua ayat Al-Quran tadi yang jelas bertentangan dengan apa yang mereka iktikadkan. Berkata Imam Abu Hanifah r.anhu : "Perbuatan hamba, perbauatn daripada mereka adalah perbuatan zahir, sebenarnya yang menjadikan itu Allah." Inilah yang diiktikadkan oleh Umat islam Salaf dan khalaf. tidak ada orang Islam yang boleh menyalahi pendapat ini, sesiapa menyalahi pendapat ini, amaka dia telah menyalahi Al-Quran dan telah menyalahi hadith Rasulullah SAW.

Tamat....


Wallahu Yahdi ila sawaissabil

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

1 comment:

  1. Jika mahukan penjelasan dari Hizbut Tahrir sendiri.
    Hubungi saya 0197976069,
    untuk membincangkan persoalan diatas.
    Syabab Hizbut Tahrir Johor Bahru.
    Tuduhan ke atas Hizbut Tahrir.
    Biar kami sendiri jelaskan....

    Yassir

    ReplyDelete