Renungan

Friday, March 26, 2010

Peringatan buat mereka yang mahu beringat akan bahaya lari dari Para Ulamak dan Fuqaha' yang Muktabar.

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,


Maka adapun kemudian daripada itu, fakir ingin berkongsi kepada sekalian sahabat dan saudara Islam yang tercinta akan kepentingan berpegang kepada Para Ulamak dan Fuqaha' yang muktabar. Ketahuilah mahsyur tidak mesti berlazim-laziman dengan muktabar. Yang mahsyur belum tentu muktabar, dan yang muktabar belum tentu mahsyur. Ambil sahaja contoh Al-Imam Syaikh Al-Azhar Al-Allamah Zakariyya Al-Anshari r.anhu. Berapa ramai dari kalangan kita yang mengenali beliau.? Sesungguhnya beliau merupakan sebesar-besar ulamak dan dianggap Mujaddid di zamannya oleh kebanyakan ulamak dan merupakan guru kepada dua Imam yang besar dalam Mazhab Syafi'e, iaitu Al-Imam Syihabuddin Ahmad ibn Hajar Al-Haythami r.anhu dan Al-Imam Syihabuddin Ar-Ramli r.anhu masing2 mengarang kitab Tuhfah dan Nihayah dalam fiqh Mazhab Syafi'e.

Maka pelajarilah akan kitab-kitab yang muktabar, iaitu kitab yang telah ditahkik dan disemak oleh para ulamak yang datang selepasnya zaman berzaman dan diiktiraf oleh mereka itu. Dan berlembut lah terhadap dirimu dalam mendengar dengan penuh insaf akan teguran dan nasihat para ulamak r.anhum . Dan bagi orang-orang yang Inad (degil dan ingkar) di dalam mendengar nasihat para Ulamak dan Fuqaha (kitab-kitab muktabar) ini, ketahuilah bahawa Baginda Junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW telah menjanjikan ke atasnya tiga bala bencana.

Perkara ini seperti apa yang ternaqal di dalam Kitab Nasa'ihul 'Ibad, Syarah bagi Kitab Munabihat bagi Al-Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani r.anhu, yang disyarahkan oleh Asy-Syaikh Muhammad Nawawi Ibnu Umar Al-Banteni At-Tanari r.anhu , m/s 4, baris 10 dari bawah:

Telah bersabda Nabi SAW " Akan datang di atas umatku pada akhir zaman, mereka melarikan diri daripada ulamak dan fuqaha'. Lalu, Allah Ta'ala bala'kan atas mereka dengan tiga bala'. Yang pertama, Allah SWT menarik keberkatan rezeki dari kerja mereka. Kedua, Allah SWT keraskan (lantik) ke atas mereka Sultan (pemerintah) yang Zalim. Dan yang ketiga, keluar mereka itu dari dunia (mati) dengan ketiadaan iman."

Mudah-mudahan Allah SWT menjadikan kita sebagai manusia yang menerima nasihat, teguran dan peringatan yang disampaikan oleh para Ulamak dan Fuqaha' (kitab-kitab Muktabar). Janganlah kita menjadi orang yang Inad (degil dan Ingkar) dari menerima sebarang teguran dan nasihat dari Ulamak dan Fuqaha' (Kitab-kitab Muktabar).

Apalah guna cara hidupnya dan matinya seperti zahir keadaan orang-orang yang soleh, tetapi haqiqat sebenar itu, mati dalam ketiadaan iman dari kerana banyak menetang apa yang diperingatkan oleh Ulamak dan Fuqaha' (Kitab-kitab Muktabar).

Wal'iyazubillahiminzalik....(Aku berlindung kepada Allah dari perkara ini)

Ingatlah bahawa ...."Salam 'Ala Man Ittiba'al Huda"

"Salam itu hanya bagi mereka yang mahu mengikut Petunjuk sahaja"

Wallahu Yahdi ila sawaissabil

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment