Renungan

Wednesday, March 3, 2010

Penegasan Para Ulamak terhadap Mempelajari Ilmu Tauhid !!

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin


Amma Ba'du,


Sememangnya para ulamak r.anhum mengutamakan ilmu aqidah. Oleh kerana pentingnya ilmu aqidah maka kita dapati seluruh ilmuan Islam akan mengutamakan ilmu aqidah . Perkara ini dapat dipetik daripada kenyataan imam tertua di antara imam-Imam yang empat iaitu Al-Imam Abu Hanifah An-Nu'man r.anhu di dalam kitab beliau, Fiqhul Akbar yang bermaksud :

"Ketahuilah bahawa mendalami ilmu usuluddin (aqidah) itu lebih mulia dari mendalami ilmu fqh".

Kenyataan Al-Imam Abu hanifah r.anhu tersebut tidaklah bermakna kita tidak harus mempelajari ilmu fiqah langsung, tetapi Al-Imam Abu Hanifah r.anhu menerangkan kemuliaan mempelajari, dan mengutamakan ilmu usuluddin. Begitu juga kalam Al-imam Muhammad bin Idris As-Syafi'e r.anhu yang bermaksud : "Kami telah mendalami ilmu tersebut (aqidah) sebelum mendalami ini (feqh)".

Syaikh Abdus Samad Al-Falimbani r.anhu menyatakan di dalam kitab Siyarus Salikin pada Juzu' 1:

"Bermula ilmu yang diwajibkan fardhu Ain pada menuntutkan akan dia (yakni mukallaf) itu tiga perkara ; pertama ilmu tauhid iaitu dinamakan ilmu usuluddin dan dinamakan pula ilmu aqidah, kedua ilmu syariat iaitu dinamakan ilmu furuk dan dinamakan ilmu fikih, ketiga ilmu batin iaitu dinamakan ilmu suluk dan ilmu tarikat dan dinamakan ilmu tasawwuf."

Syaikh Abdus Samad Al-Falimbani r.anhu menambah, "Adapun kadar yang wajib fardhu A'in adalah menuntut ilmu Tauhid itu sekira-kira menuntut ilmu yang diketahui akan Zat Allah Ta'ala dan sekalian sifat-Nya yang Salbiah dan segala sifatnya yang Sabutiyyah dan segala Af'al-Nya, dan demikian lagi mengetahui penghulu kita Nabi SAW dan mengetahui segala Rasul Alahissalam dan mengetahui akan yang didatangkan oleh mereka itu dan beriman akan dia..."

Syaikh Abdus Samad Al-Falimbani r.anhu adalah antara ulamak yang membintangi penulisan Tasawwuf di Asia Tenggara untuk semua zaman. Sila lihat buku Wawasan Pemikiran Asia Tenggara karangan Tuan Guru Hj Wan Saghir Abdullah Al-Fathani)

Tersebut dalam kitab Risalah Tauhid, yang merupakan buku teks bagi sekolah agama Johor yang dahulu, pada m/s 31 :

"Wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui sifat-sifat yang mustahil pada Tuhan yang jadi lawan bagi dua puluh sifat yang wajib bagi-Nya, dengan dinyatakan satu-persatu. Manakala telah diterapkan satu-persatu sifat yang wajib bagi Allah Ta'ala dua puluh sifat, maka tetaplah mustahil lawannya yang kekurangan itu, kerana yang dituntut pada ilmu itu mensabitkan/menetapkan segala aqaid atas jalan tafshili pada segala sifat. Daripada itu, TERLALU BESARLAH SALAH MEREKA YANG TIADA MENGETAHUI HAL ITU LEBIH DARIPADA TIADA MENGETAHUI HUKUM-HUKUM FIQIH. Kerana jahil akan barang yang wajib bagi Allah Ta'ala dan yang mustahil atasnya dihukumkan kafir, tetapi jahil akan hukum-hukum fikah hanya maksiat jua."

Berkata Syaikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain Al-Fathani r.anhu yang merupakan Guru Utama Tok Kenali r.anhu di dalam kitabnya yang sangat tersebar dan mahsyur di pondok-pondok Nusantara iaitu Kitab Faridatul Faraid atau terkenal dgn gelaran Matan Faridah pada m/s 4 pada tepi kitab/hamish kitab:

" Maka TIADA SAH sesuatu yang wajib dan yang sunat melainkan kemudian daripada mengenalkan Dia Subhannallahu wa Ta'ala."

Maka saudaraku, hendaklah kau dan aku bersungguh-sungguh dalam mempelajari ilmu Aqidah ini yang natijahnya mendapat keselamatan di Akhirat kelak. Adapun jahil atau mengambil ringan akan ilmu yang paling mulia di antara semua ilmu yang lain, tidak lain hanyalah satu faktor yang boleh menjatuhkan seseorang ke dalam lembah kekufuran tanpa dia sedari....Na'uzubillah

Sesungguhnya telah disabdakan Rasulullah SAW :

"Sesungguhnya seseorang itu berkata ia dengan kalimat yang tidak disangkanya merbahaya, yang mana menyebabkannya menjunam jatuh 70 tahun ke dalam neraka ."

Yakni menjunam jatuh 70 tahun ke dasar neraka yang dikhaskan untuk orang kafir. Hadis ini diriwayatkan Oleh Al-Imam Tirmizi r.anhu dan ianya Hasan dan semakna dengan hadis ini ada juga diriwayatkan oleh Syaikhan (Imam Bukhari dan Imam Muslim).

Ketahui juga bahawa tiga perkara yang membawa kepada kufur itu ada tiga :

1) Kufur I'tiqady (kufur disebabkan oleh pegangan dan keyakinan yang salah)

2) Kufur Fi'ly (Kufur yang disebabkan perbuatan)

3) Kufur Qauly (Kufur yang disebabkan perkataan)

At-Taufiq...At-Taufiq.....
At-Taufiq.... Allahu taufiq

Kejahilan dalam AKIDAH adalah sebesar-besar KEJAHILAN

Wallahu yahdi ila sawaissabil

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment