Renungan

Thursday, July 9, 2009

Akhlak Nabi s.a.w. dalam sebuah Hadis

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t. , Tuhan empunya sekalian alam, Tiadalah Ia berhajat kepada Selain-Nya , malah selain-NYa lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam moga dicurahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah...Tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) beserta ahlulbayt dan para sahabat baginda yang mulia lagi suci . Dan mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami , Kasihani kami, Rahmatilah kami....Amin

Amma Ba'du,

Adapun kemudian dari itu, faqir yang serba kekurangan ini ingin berkongsi dengan saudara pembaca berkenaan satu hadis yang paling lengkap menceritakan tentang akhlak makhluk paling mulia di sisi Allah s.w.t. , Nabi Muhammad s.a.w. . Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Imam Hussein r.a. dari ayahnya Sayyidina Ali bin Abi Thalib kwh. yang terkenal sebagai hadis Asy-Syamaa'il.

Telah berkata Al-Imam Ali r.a. "Dalam menyerahkan perbicaraannya telah menjadi kebiasaan bagi Nabi s.a.w. mengutamakan orang-orang yang telah terhormat berdasarkan kelebihan mereka yang berjasa terhadap agama, dan kerana keperluan seseorang itu tidak sama dan berbeza tentang banyak dan sedikitnya, maka baginda s.a.w. mendahulukan yang dipandangnya lebih bermanfaat dan lebih baik lagi mereka dan masyarakat sekelilingnya. Dalam pada itu, baginda selalu memberitahukan kepada mereka apa yang harus dikerjakan , dan berkata : hendaklah orang yang berada di temoat ini, menyampaikan kepada mereka yang berhalangan datang, dan hendaklah disampaikan kepadaku hajat dan keperluan siapa saja yang kerana sebab2 tertentu tidak dapat menyampaikan secara langsung, kerana barang siapa yang menyampaikan hajat seseorang yang ia sendiri tidak dapat menyampaikannya ,Allah s.w.t. akan meneguhkan kedua tapak kakinya pada hari kiamat kelak, mereka yang datang kepada Nabi s.a.w. dengan tujuan untuk memperoleh sesuatu, baik untuk kepentingan dunianya mahupun untuk akhiratnya, tidak kembali melainkan dengan terhormat dan pasti akan berhasil apa yang diharapkan."

Imam Al-Hussain r.a. selanjutnya berkata : maka aku bertanya kepada ayahku "Bagaimanakah Rasulullah s.a.w. bila berada di luar rumahnya?" Imam Ali r.a. menjawab "Rasulullah s.a.w. sentiasa menjaga lidahnya, dan tidak berbicara kecuali dalam hal yang penting, sikapnya lemah lembut, dan sopan santun, tidak keras dan tidak kaku, sehingga selalu didekati dan dikerumuni orang kerana sangat tertarik kepadanya, sangat hormat kepada setiap pemuka kabilah, dan menunjuknya sebagai pemimpin mereka, terhadap orang lain amat hati-hati dan selalu berwaspada , sentiasa mencari sahabat-sahabat yang dekat dengannya, dan memperhatikan hal ehwal umat dan masyarakat umumnya, yang benar dibenarkan olehnya, dan yang salah pun disalahkan olehnya tanpa pilih kasih, dalam semua ucapan dan tindakan tidak berlebih-lebihan dan menghadapi segala keadaan diperhitungkan dan disiapkan apa yang perlu, tidak lali atau lengah terhadap hak atau kewajipannya, namun tidak perlu melampaui batas. Orang-orang yang dekat kepadanya adalah orang yang baik dan pilihan, dan yang terbaik di antara mereka disisi baginda ialah yang paling banyak jasanya dan derma baktinya kepada umatnya dan orang banyak"

Imam Hussain selanjutnya bertanya lagi tentang cara dan betapa majlis Rasulullah s.a.w. itu, maka dijawab oleh Imam Ali r.a. "Nabi s.a.w. tidak duduk dan bangun melainkan ingat dan menyebut nama Allah, baginda tidak memilih dan tidak menetap di suatu tempat tertentu, bila memsuki majlis, baginda duduk di mana sahaja ada tempat kosong, dan menyuruh yang lain berbuat demikian, baginda memberikan kepada setiap yang duduk di majlis itu kesempatan dan bahagiannya masing-masing, tiap seorang yang hadir diajaknya bercakap cakap dan berbicara, sehingga yang ada di tempat itu merasa tiada yang dihormati Nabi s.a.w. lebih dari dirinya, dan bila seorang kerana ada keperluan atau urusan berbicara dengan baginda, maka dengan sabar dialayaninya sehingga orang itu sendiri yang meninggalkannya, dan Nabi s.a.w. selalu memberi kepada sesiapapun yang meminta sesuatu daripadanya, dan kalau kebetulan tidak ada apa yang dimintaitu dan terpaksa menolak, maka itupun dengan sikap dan tutur kata yang manis dan sopan. Budi bahsa dan kemurahan hati baginda s.a.w. mencakup setiap orang seakan-akan dialah ayah bagi semua orang, dan hak mereka menjadi sama tanpa perbezaan dalam pandangannya."

Selanjutnya Imam Hussain bertanya kepada ayahnya tentang cara Nabi s.a.w. bergaul dnegan para sahabatnya, maka Imam Ali r.a. berkata "adalah Rasulullah s.a.w. itu selalu tersenyum dan lemah lembut, tidak keras dan tidak kaku, suaranya tidak lantang , bicaranya selalu bersih dan serius, tidak pernah mencela atau apapun, dan tidak suka memuji berlebih-lebihan , tidak selalu bergurau, apa yang tidak disenanginya tidak diacuhkan, dan yang datang memerlukan tidak akan diputuskan harapannya. Ada tiga perkara yang menjadi pantang bagi baginda s.a.w. iaitu bertengkar, berlebih lebihan ,dan apa yang tidak penting."

Yang menjadi tabiat dan kebiasaannya , tidak suka mencela dan mencari kesalahan sesiapapun, atau berbuat sesuatu yang memalukannya, dan bila baginda s.a.w. sedang berbicara, maka para sahabat r.anhum memasang telinga , mendengarkan dengan tenang, bagaikan ada burung yang hinggap di atas kepala masing-masing, setelah baginda berbicara, barulah mereka berbicara, tidak ada yang saling membantah, semua mendengarkan kepada yang berbicara sehingga selesai, baginda s.a.w. juga tertawa dan kagum, apabila ada hal hal yang menggelikan atau menakjubkan, terhadap tamu yang datang ,baginda tetap sabar mendengarkan perbicaraanya, dan menjawab segala pertanyaannya dan seringkali para sahabat membawa tamu-tamunya ke majlis Rasulullah s.a.w.

(H.R Muslim)

Sebenarnya hadis ini sangat panjang. Bolehlah saudara pembaca melihat sendiri di dalam kitab Sahih Muslim.

Selawat dan salam atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. , beserta para sahabat dan ahlulbayt r.anhum

Segala puji bagi Allah s.w.t., Tuhan Empunya Sekalian Alam, Dan Allah Maha Mengetahui

Jazakallah Khairan Kathira....(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment

Post a Comment