Renungan

Wednesday, July 1, 2009

Sahabat


Segala puji hanya bagi Allah , tuhan empunya sekalian alam, tiadalah ia berhajat kepada selainNya malah selainNya lah yang berhajat kepadanya. Selawat dan salam moga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Muhammad s.a.w. beserta Ahlulbayt baginda dan para sahabat r.anhum yang mulia lagi suci. Dan mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat ....Ya Allah Ampunilah kami, Kasihanilah kami, Rahmatilah kami...Amin


Amma Ba'du,


Adapun kemudian daripada itu, faqir yang serba kekurangan ingin berkongsi dengan saudara pembaca yang dimuliakan berkenaan sahabat. Sahabat atau teman adalah perkara yang sangat penting di dalam perjalanan hidup kita. Sehingga kalau hendak tahu bagaimana sikap atau akhlak seseorang itu, maka lihatlah pada kelakuan dan akhlak sahabatnya. Sahabat meminkan faktor yang penting dalam pembentukan jati diri kita dan mempengaruhi sikap, akhlak, dan cara bergaul kita. Maka , sayugia amat penting untuk kita memilih sahabat yang betul.


Nilai suatu persahabatan dilihat daripada ketulusan hati dan kesedian untuk berkorban demi orang lain. Sahabat manakah yang sanggup mengorbankan nyawanya bagi kepentingan orang lain?. Dunia dan penghuninya semakin mementingkan diri sendiri, hubungan antara manusia semakin kering, tingkat persaingan semakin tinggi dan kemjuan teknologi yang pesat meluaskan jurang perhubungan antara manusia, di mana kita dapat berkomunikasi dengan orang lain tanpa perlu bersemuka ataupun bersalaman.


Kita memerlukan sahabat yang boleh menjadi teman di kala suka dan duka . Nilai persahabatan sebenarnya dilihat daripada ketulusan hati dan kesanggupan kita berkorban untuk orang lain. Menjadi sahabat di kala senang adalah perkara biasa dan mudah kerana siapa pun dapat melakukannya. Tetapi,menjadi sahabat di kala susah adalah sesuatu yang lebih bermakna dan menjadikan nilai persahabatan itu begitu tinggi. Dalam dunia yang semakin "parah" ini, erti persahabatan sering dijadikan memperolehi harapan atau tujuan tertentu. Persahabatan sering dibina atas sebab-sebab tertentu seperti bagi mendapatkan projek atau kelebihan dalam sesuatu perkara.


Persahabatan yang sejati tidak mementingkan hasil atau balasan daripada persahabatan itu. Sahabat sejati adalah orang yang sanggup mendengar dan mengerti ketika anda mengungkapkan perasaan anda yang mendalam. Dia juga menyokong anda ketika sedang berjuang, menegur dengan lembut dan penuh kasih sayang ketika anda berbuat salah dan tidak menyalahkan anda sekiranya anda gagal. Seorang sahabat sejati akan memberi semangat bagi perkembangan diri anda , mendorong memaksimakan potensi anda sepenuhnya. Dan yang paling menakjubkan, DIA JUGA AKAN MERAIKAN KEJAYAAN ANDA SEOLAH-OLAH KEJAYAANNYA SENDIRI.


Wahai diri dan sekalian jemaah umat Islam yang tercinta, jadikan lah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda r.anhum sebagai model kita dalam bersaudara . Renungilah, hayatilah akhlak baginda s.a.w. dan para sahabatnya r.anhum. Faqir cadangkan pembaca membeli kitab Insan Kamil karangan Al-Muhaddith Syaikh Prof. Dr. Muhammad Alwi Al-Maliki Al-Hasani rah. Seorang Ulama besar yang mengajar di Masjidil Haram berketurunan Rasulullah s.a.w. (Semoga Allah tempatkan beliau bersama Para Anbiya, Siddiqin, Syuhada dan Solihin...Amin). Ianya telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu.


Ketika Sang mentari mula menampakkan wajahnya hari ini, marilah kita merenung "Sudahkah kita menjadi sahabat yang sejati bagi orang lain dan siapakah sahabat sejati kita yang sesungguhnya hingga ke hari ini?"


Selawat dan salam semoga dicurahkan Allah s.w.t. ke atas kekasih dan junjungan besar kita Sayyidina wa Maulana Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan ...Amin) Dan kepada Ahlulbayt dan para sahabat r.anhum yang yg sgt kasih pada umat ini...


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t....Dan Allah jua Yang memberi petunjuk dan Allah Maha Mengetahui...


Jazakallah Khairan Kathira... (^_ ^)



Al-Faqir wal Haqir Ilallah,

Salim Azham

No comments:

Post a Comment