Renungan

Sunday, July 5, 2009

Mendukung Ucapan dengan Alasan

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t. ,Tuhan empunya sekalian alam, tiada berhajat kepada selain-Nya, malah selainNya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dicurahkan oleh Allah s.w.t. kepada junjungan yang mulia Sayyidina wa Maulana Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda ke tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan...Amin) beserta Ahlulbayt dan para sahabat baginda r.anhum yang mulia lagi suci. Dan mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, kasihani kami, rahmati kami...Amin

Amma Ba'du,

Adapun kemudian daripada itu, Faqir ingin berkongsi dengan saudara pembaca yang dihormati berkenaan isu bercakap tanpa alasan . Sangat menyedihkan sekiranya mahasisiwa mempunyai sikap begini padahal mereka lah yang diharapkan dapat menerajui pembangunan dan kepimpinan negara di masa akan datang. Marilah sama-sama kita menghayati bagaimana perlakuan Nabi s.a.w. dalam konteks ini.

Memperkuat ucapan dengan dalih dan alasan merupakan salah satu cara Nabi s.a.w. dalam memberikan pelajaran dan keterangan, dengan mengemukakan perbandingan-perbandingan tentang masalah yang diumpatkan, maka kian jelas terbukti kebenaran yang perlu diketahui dan makin tenteram hati yang bertanya tentang sesuatu yang kurang difahami secara mantap dan meyakinkan. Dalam satu hadis sahih , Nabi s.a.w. bersabda "Hubungan suami isteri yang kalian lakukan itu merupakan sedekah, dan kalian akan diberi pahala mengenainya". Mendengar ucapan itu, para sahabat baginda r.a. bertanya "Ya Rasulullah ,apakah seorang yang melepaskan nafsu syahwatnya, akan memperoleh pahala juga?" Baginda s.a.w. segera menjawab dengan pertanyaan pula "Seandainya nafsu syahwat itu dilepaskannnya di tempat yang haram apakah tidak berdosa? Demikian juga bila dilepaskan di tempat yang halal tentu akan memperoleh pahala".

Hadis ini sebagai dalil bahawa sesuatu yang halal hukumnya, dapat berubah menjadi amal ibadat kalau didasarkan atas niat suci dan baik. Kalau direnungkan , cukup andaikata Nabi s.a.w. bersabda "Bahawa itu adalah keputusan dan hukum , sedang keputusan dan hukum Allah dan Rasul sudah cukup kuat menjadi dalil yang wajib diterima sepenuhnya", akan tetapi baginda tidak berkata sedemikian, malah baginda mengemukakan perbandingan yang mudah diterima dan tidak dapat diengkari. Dengan demikian mereka diberi kesempatan berfikir dan membanding, kerana sesuatu yang ghaib (abstrak) telah dipindahkan menjadi hal yang nyata (konkrit).

Hadis lain seperti yang diriwayatkan Imam Muslim rah. dalam Sahihnya , bahawa An-Nu'man bin Basyir berkata "Ayahku pernah membawaku menghadap Nabi s.a.w. lalu bertanya "Ya Rasulullah ! Saksikanlah , bahawa aku akan memberi kepada anakku Nu'man ini sekian dari seluruh harta kekayaanku",maka Baginda s.a.w. bertanya "Apakah semua anakmu engkau beri seperti pemberianmu kepada Nu'man?", Ayahku menjawab "Tidak", Kemudian Nabi s.a.w. bersabda "Lebih baik cari saksi lain sahaja ", Selanjutnya Nabi s.a.w. bertanya "Apakah engkau ingin semua anakmu sama baktinya kepadamu?", "Tentu saja",jawab ayahku cepat, "Kalau demikian maka janganlah hal itu kau lakukan.", kata baginda s.a.w. pada akhirnya.

Sekiranya Nabi s.a.w. berkata , bahawa hal tersebut tidak benar dan terlarang, maka itu sudah cukup dan sekaligus menjadi dalil yang tidak dapat diingkari lagi, namun baginda s.a.w. menerangkan duduk perkara yang sebenarnya dan menjelaskan sebab musabab larangan itu, dengan kata kata "Apakah engkau ingin semua nakmu sama baktinya kepadamu?" Kiranya sudah terang , bahawa hal itu sangat diinginkan sekali , namun bila dia hanya memberi kepada seorang anak sahaja , dan meninggalkan yang lain, tentu anak-anak yang lain tidak akan berbakti dengan sungguh sungguh kepadanya, malahan boleh membawa kepada rasa dendam, sakit hati dan permusuhan sesama saudara, dengan segala akibat dan kesudahan yang menyedihkan.

Maka , faqir menasihati diri ini dan saudara pembaca yang dimuliakan supaya kita sentiasa memperbaiki perbicaraan kita. Bagaimana kita boleh mendakwa diri ini sebagai pendakwah tetapi kata-kata yang dikeluarkan langsung tidak disandarkan kepada fakta, dalil dan hujah yg kukuh, dan ditakuti kita pulak menjadi asbab orang lain semakin menjauhi agama yang suci ini .

Selawat dan salam moga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. beserta Ahlubayt dan para shabat r.anhum ...


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian alam, Dan Allah jua yang memberi petunjuk da Allah Maha Mengetahui...

Jazakallah khairan kathira...

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham

No comments:

Post a Comment