Renungan

Wednesday, July 22, 2009

Hakikat Mikraj dan keyakinan kepada Allah s.w.t.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan Empunya sekalian alam, Tiada Ia berhajat kepada Makhluk, malah Makhluklah yg berhajat kepada-Nya,. Selawat dan salam moga dicurahkan Allah s.w.t. atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah, tempatkan junjungan baginda di tempat yg terpuji sepertimana yg Kau janjikan Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt yg mulia lagi tinggi makam mereka di sisi Allah ..Dan mereka yg mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati kami, Kasihanilah kami..Amin

Amm Ba'du,

Adapun kemudian daripada itu, faqir yg serba kekurangan ini ingin membawa satu permasalahan yg kebelakangan ini dikelirukan oleh setengah pihak yg tidak bertanggungjawab. Iaitu mereka menjadikan perkara mikraj Nabi s.a.w. sebagai hujah bahawa Allah s.w.t. bertempat di atas langit . Na'uzubillah

Ketahuilah saudara umat Nabi s.a.w. yg tercinta, bahawa Allah s.w.t., Tuhan Empunya sekalian alam, TIDAK MENGAMBIL TEMPAT, MASA DAN JISIM.

Di sini faqir menukilkan dari kitab "Wa Huwa bil Ufuqil A'laa", karangan Al-Muhaddith Syaikh Prof. Dr. Muhammad bin Alwy Al-Maliki Al-Hasani r.a. . Telah berkata Syaikh yg mulia :

Tidak sepatutnya seseorang muslim yang mendengar kisah mi'raj mengenai naik dan turunnya Junjungan Nabi SAW ke langit, untuk menyangka bahawa antara hamba dan TuhanNya terdapat jarak yang tertentu yang dapat dijangkau, kerana sangkaan yang sedemikian adalah suatu kekufuran, yang mana kita berlindung dengan Allah daripadanya. Bahawasanya naik dan turun ini hanya dinisbahkan kepada hamba (yakni Junjungan Nabi SAW) dan bukannya kepada Tuhan. Meskipun Junjungan Nabi SAW pada malam isra' tersebut berkesudahan dengan mencapai jarak kedudukan seumpama dua anak panah atau lebih hampir lagi, tetap baginda tidak melepasi maqam / kedudukan seorang hamba. Dan keadaan baginda dengan Nabi Yunus bin Matta AS ketika ditelan ikan serta dibawanya ke lautan lepas sehingga ke dasar lautan adalah sama, dalam hal ketiadaan jarak bagi Allah dengan ciptaanNya, ketiadaan arah, ketiadaan mengambil tempat, ketiadaan had pembatas, dan ketiadaan dapat dijangkau (yakni bukanlah artinya bila Junjungan Nabi SAW mi'raj ke atas maka baginda lebih hampir kepada Tuhan berbanding Nabi Yunus yang dibawa ikan ke dasar lautan dari segi tempat dan jarak - satu di atas dan satu di bawah - kerana Allah tidak bertempat sehingga boleh didekati atau dihampiri dengan diputuskan jarak yang tertentu.) Dan telah dikatakan oleh segelintir ulama, bahawa ikan tersebut telah membawa Nabi Yunus sejauh perjalanan 6,000 tahun, sebagaimana disebut oleh Imam al-Baghawi dan selainnya. Apabila telah engkau ketahui yang sedemikian, maka yang dikehendaki dengan naiknya Junjungan Nabi SAW dan menempuhnya baginda jarak yang jauh tersebut adalah untuk menzahirkan / menyatakan kedudukan baginda kepada penghuni langit dan menyatakan bahawasanya bagindalah makhluk Allah yang paling utama. Pengertian ini diperkuatkan lagi dengan dijadikan buraq sebagai tunggangan baginda, lalu dihubungkan bagi baginda akan mi'raj (alat untuk naik ke langit), dijadikan baginda imam bagi para nabi dan malaikat, sedangkan Allah ta'ala berkuasa untuk mengangkat baginda tanpa buraq dan mi'raj.

Selesai petikan kitab. Maka faqir ingatkan bahawa diisra` dan dimi`rajkan Junjungan Nabi s.a.w. dengan menggunakan makhluk seperti buraq dan mi'raj adalah untuk menzahirkan kemuliaan dan ketinggian baginda di antara sekalian makhluk. Inilah hakikat sebenar mi'raj Junjungan s.a.w. ke langit, agar dipersaksikan kepada segala penghuni langit akan darjat ketinggiannya penghulu sekalian makhluk. Tidaklah ia menunjukkan Allah berada di sesuatu tempat, Maha Suci Allah daripada mengambil faedah dari makhlukNya dan Maha Suci Ia daripada mengambil bagi lapang. ِ

Semoga Allah s.w.t. memberi hidayah kepada saudara dan ana..Amin

Selawat dan salam moga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah Tempatkan baginda di tempat yg terpuji sepertimana yg Kau janjikan..Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para sahabat yg sgt mengasihi akan umat Nabi s.a.w. yg tercinta.

Dan kepada Allah s.w.t. jua kita dikembalikan, segala puji hanya bagi Alah s.w.t., Tuhan Empunya sekalian alam, Allah s.w.t. Maha Mengetahui dan Allah s.w.t. jua yg memberi petunjuk .

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment