Renungan

Friday, July 10, 2009

Mengembalikan mata ke tempat asal

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t. , Tuhan empuya sekalian alam, tiada ia berhajat kepada selain-Nya malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya, selawat dan salam moga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah Tempatkanlah junjungan kami ke tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan...Amin) beserta Ahlulbayt dan para sahabat baginda r.anhum yang banyak menabur jasa bakti dalam menegakkan agama Islam yang suci lagi mulia ini. Dan mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Kasihani kami, Rahmati kami...Amin

Amma Ba'du,

Adapun kemudian daripada itu, faqir ingin berkongsi dengan saudara pembaca yang dimuliakan berkenaan khususiah Nabi Muhammad s.a.w. yang mana di antaranya ialah dikurniakan Allah s.w.t. mukjizat mengembalikan mata ke tempat asal.

Diriwayatkan bahawa semasa peperangan Uhud, Qatadah ibn Nu'man r.a. berusaha melindungi Rasulullah s.a.w. dengan mukanya daripada terkena sasaran anak panah musuh. Tiba-tiba satu busur anak panah mengenai salah satu matanya dan menyebabkan matanya terkeluar dan jatuh ke pipi. Lalu dia mengambil dengan tangannya dan membawanya berjumpa Rasulullah s.a.w. Apabila Rasulullah s.a.w. melihat biji mata Qatadah yang berada di telapak tangannya, air mata baginda s.a.w. mengalir ke pipi.

Kemudian baginda s.a.w. bersabda "Sekiranya kamu mahu bersabar, maka bagimu adalah syurga. Sekiranya kamu mahu aku kembalikannya dan aku berdoa kepada Allah s.w.t. untukmu hingga kamu tidak kehilangan sesuatu pun. Dia berkata "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ada seorang isteri yang aku kasihi. Aku bimbang sekiranya dia melihatku maka dia akan membenciku. Maka Rasulullah s.a.w. mengambil mata Qatadah dengan tangannya dan mengembalikannya kepada kedudukan asalnya. Rasulullah s.a.w. berdoa "Ya Allah, pakaikanlah dia dalam keadaan yang cantik. Maka selepas itu ia menjadi mata yang paling elok daripada kedua matanya dan paling tajam penglihatannya serta tidak ditimpa penyakit apabila salah satu daripadanya ditimpa penyakit." Kisah ini disebut di dalam Kitab al Anwar al Muhammadiah min al Mawahib al Ladduniyyah bagi Allamah Syaikh Yusof ibn Ismail al Nabhani rah.

Rasulullah s.a.w. juga dikurniakan mukjizat menyembuhkan sakit mata . Di dalam Sohih Al-Bukhari disebut bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam peperangan Khaibar "Di manakah Ali bin Abu Thalib? Maka mereka menjawab "Sesungguhnya dia wahai Rasulullah sedang sakit mata. Bersabda Rasulullah s.a.w. :Hantarkan utusan kepadanya. Maka Sayyidina Ali kwh. dibawa menghadap Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah s.a.w. meludah kepada kedua dua matanya dan berdoa untuknya. Maka Sayyidina Ali kwh. sembuh dari penyakitnya seolah-olah dia tidak pernah menghidap sakit mata."

Baginda s.a.w. juga mempunyai mukjizat menghidupkan orang yang mati. Diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi rah. di dalam kitabnya Dalail Nubuwwah yang dianjurkan oleh Imam Al-Zahabi rah. untuk berpegang teguh kepadanya kerana mengandungi hidayah disebut bahawa Rasulullah s.a.w. menyeru seorang lelaki kepda Islam. Maka kata lelaki tersebut "Aku tidak akan beriman dengan kamu sehinggalah kamu menghidupkan anak perempuanku yang telah meninggal dunia. Maka Baginda s.a.w. bersabda "Tunjukkanlah aku akan kuburnya". Lalu ditunjukkan kepada baginda s.a.w. akan kuburnya . Rasulullah s.a.w. bersabda "Wahai Fulanah !". Maka anak perempuan yang telah mati itu menjawab "Aku sambut panggilanmu dan kebahagian adalah bagimu". Rasulullah s.a.w. bersabda "Adakah kamu suka sekiranya kamu dikembalikan ke dunia ini?". Maka jawabnya "Tidak, Demi Allah wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mendapati Allah s.w.t. lebih baik bagiku dari kedua ibu bapaku dan aku mendapati akhirat adalah lebih baik bagiku daripada dunia ini."

Sesungguhnya sangat banyak mukjizat yang dikurniakan Allah s.w.t. kepada kekasih-Nya Nabi Muhammad s.a.w. . Umat Islam hari ini perlu disedarkan akan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w.. Apabila umat ini mencintainya, maka terbuka segala pintu kebaikan, tertutup segala pintu kejahatan. Ketahuilah cinta itu di hati, mengikuti itu menguatkan cinta di hati. Sahih, benar ada sesetengah yang mendakwa mencintai Nabi s.a.w. tetapi tidak mencontohi baginda s.a.w. . Orang ini khianat dalam dakwaannya, cuai dalam percintaannya , merosakkan hubungan dengan kekasihnya. Bagaimana kamu mendakwa cintakan Nabi s.a.w. tetapi tidak menyanjung adab-adab dan sunnahnya. Tetapi cinta itu juga bukanlah mengikut semata-mata. Kadang-kadang kita mengikut atau mencontohi sesuatu kerana malu,menjaga perasaan, tamak, menunjuk-nunjuk dan lain-lain yang bukan kerana cinta. Cinta itu di hati dan selepas itulah tuan punya hati mengikuti orang yang dicintai. Sabda Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad r.a. "Ajarkan anak mu tiga perkara :Cintakan Aku, Cintakan Ahli Keluargaku, bacaan Al-Quran" Dalam riwayat yang lain "Ajarkan anakmu tiga perkara "Cintakan Allah, Cintakan Aku, Cintakan Ahlulbaytku".

Di akhir kalam ini, ana bawakan kata-kata Imam Busairi rah.

"Pedulikan apa yang mereka(Yahudi dan Nasrani) katakan terhadap Nabi mereka"
"Kita pujilah akan Rasulullah s.a.w. sebanyak-sebanyaknya"
Selagi kita tidak meletakkan sifat ketuhanan kepada Nabi s.a.w. , pujilah sebanyak-banyaknya dan selawat lah semahu-mahunya wahai saudaraku. Selawat dan salam semoga dicurahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah Tempatkan junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) beserta Ahlulbayt dan para sahabat r.anhum yang sangat kasih akan mereka itu kepada umat Nabi s.a.w.
Segala puji hanya bagi Allah s.w.t. , Tuhan Empunya sekalian Alam, Kepada-Nya lah kita akan dikembalikan. Dan Allah s.w.t. jualah yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui
Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)
Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment