Renungan

Tuesday, July 7, 2009

Mampukah beramal tanpa mazhab ?


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., tuhan empunya sekalian alam, tiada berhajat ia kepada makhluk-Nya, malah segalanya berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam yang sebanyaknya semoga dilimpah Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah...tempatkanlah junjungan kami te tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan...Amin) beserta Ahlubayt dan para sahabat baginda r.anhum yang mulia lagi suci dan banyak jasa mereka kepada menegakkkan agama Allah yang maha suci ini. Dan mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati kami, Kasihanilah kami...Amin


Amma Ba'du,


Adapun kemudian daripada itu, faqir yang serba kekurangan ini ingin mengajak saudara pembaca yang dimuliakan mengenai isu ini. Telah wujud fenomena di kalangan kita (muda-mudi) yang ghairah untuk beramal hanya melalui pembacaan terus dari Al-Quran dan Al-Sunnah. Setiap hukum yang diketengahkan oleh kitab-kitab fiqh mazhab akan dipersoalkan dalil dan sumbernya. Keadaan ini membuatkan para ulama terpaksa memberikan dua pendekatanjawapan. Sama ada menjawab berpandukan kitab fiqh berlandaskan mazhab atau terus membentangkan dalilnya daripada Al-Quran dan Al-Sunnah.



Sekilas pandang , ia merupakan satu perkembangan yang baik kerana umat Islam hari ini ingin belajar mengetahui dalil atau lebih tepat ingin terus belajar melalui Al-Quran dan Al-Sunnah. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kita wajib berpegang kepada keduanya. Namun apa akan terjadi sekiranya seseorang awam itu diberikan suatu manhaj yang tidak tahu digunakan . Manhaj tersebut ialah belajar secara "langsung" daripada Al-Quran dan Al-Sunnah.


Sebagai seorang awam yang tidak mendalami agama secara terperinci, tidak mendalami nas-nas syariat secara halus, bahkan tidak bertemu nas-nas syara' melainkan hanya dalam jumlah yang terbatas. Wajarkah orang seumpama ini mengatakan "itu tidak menepati Sunnah, Itu tiada dalam Al-Quran,ini hanya rekaan, Itu Bid'ah, ini hanya tradisi orang Melayu"?. Dan pelbagai lagi telahan yang mungkin dibuat kerana berpandukan manhaj yang di ajar gurunya.


Bukankah suasana seperti ini boleh membawa mereka terjebak ke dalam pendustaan di atas nama Alllah dan Rasul-Nya. Mungkin banyak nas-nas syara' yang boleh distidlal terhadap sesuatu hukum syara', tetapi disebabkan kejahilannya tentang nas tersebut atau ketidakupayaan dalam berijtihad dan memahami nas maka dia telah menafikan kewujudan sesuatu hukum.


Oleh itu mengajak masyarakat untuk meninggalkan mazhab atas alasan kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah adalah suatu usaha yang sia-sia dan bathil. Mazhab seharusnya difahami sebagai sebuah disiplin ilmu(manhaj) untuk kita memahami Al-Quran dan Al-Sunnah. Di Malaysia, umum mengetahui bahawa majoriti bermazhab Syafi'e khusunya dalam ibadat, munakahat, dan fardhu a'in. Namun, dalam bidang bidang lain seperti muamalat, jinayat, kehakiman, dan perundangan serta isu-isu kontemporari , jelas menunjukkan umat Islam di Malaysia tidak hanya terikat pada mazhab Syafi'e, oleh itu, tuduhan bahawa umat Islam di Malaysia mewajibkan berpegang kepada satu mazhab dalam semua masalah adalah sesuatu yang keterlaluan.


Beramal dengan mazhab Syafi'e dalam bab Fardhu A'in sepertimana yang diamalkan sekarang bukanlah bermakna kita menolak pendangan mazhab-mazhab lain. Pendirian ini dipegang hanyalah berdasarkan ketidakmampuan seseorang untuk beramal dalam ibadatnya dengan mazhab-mazhab yang lain. Sememangnya hukum asal berpegang kepada mazhab itu tidak wajib, namun bagi selain mujtahid, beramal denagn fatwa mujtahid(mazhab) adalah wajib memandangkan tiada lagi jalan lain untuk mengetahui hukum syara' melainkan dengan mengikuti Imam Mujtahid Mutlak yang empat.


Dalam hal yang sama, seseorang awam itu juga tidak mampu untuk melakukan tarjih iaitu menilai pendapat atau dalil yang terkuat antara mazhab. Ketidakmampuan itu memerlukannya untuk berpegang kepada mazhab yang dianutinya sahaja. Syaikh Prof Dr. Said Muhammad Ramadhan Al-Buti (semoga Allah membalas beliau dengan kebaikan) menegaskan bahawa seseorang yang mampu mentarjih di antara mazhab-mazhab, bermakna dia adalah seorang mujtahid dan keilmuannya sudah tentulah melebihi keilmuan para mujtahid mazhab-mazhab terdahulu.


Ketahuilah saudaraku yang dimuliakan, bahawa hanya dengan penguasaan disiplin ilmu yang tinggi sahaja , seseorang mampu untuk membuat pemilihan mana yang paling sahih dan paling benar antara mazhab-mazhab tersebut. Sekaligus perkara itu tentu mustahil berlaku kepada golongan awam.


Syaikh Al-Buti berkata "telah sabit kisah bahawa seorang sahabat r.a. bertanya tentang segala masalah agama hanya kepada Ibnu Abbas r.a. tanpa mengambil pendapat dari sahabat yang lain, tetapi Ibnu Abbas r.a. dan sahabat-sahabat yang lain tidak mengingkari perbuatan seorang sahabat ini."


Semoga kita lebih berlapang dada dalam masalah ini, ketahuilah bahawa Al-Quran itu maksum dari kesalahan, tetapi kefahaman faqir, kefahaman saudara, kefahaman ulama, kefahaman manusia yang lainnya kecuali Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. adalah tidak maksum dan boleh saja tersilap. Cuma bezanya di sini , adalah seorang memahami dengan tiada ilmu atau kurang ilmunya dan seorang lagi yakni para ulama mujtahid memahami Al-Quran dengan dibekalkan ilmu pengetahuan yang lengkap yang melayakkan mereka untuk mengistinbathkan hukum dari Al-Quran dan Al-Sunnah ..Fahamilah perkara ini saudaraku. Bukankah Allah telah berfirman yang maksudnya "Bertanyalah kepada yang mengetahui sekiranya kamu tidak tahu". Maka tidak patut seorang yang tidak sampai ilmunya (jgn perasan sampai pulak) terus memahamkan Quran dan Hadis,dan kemudian mengeluarkan hukum mengikut kefahamannya. Renungilah Sabda Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Nuruddin Al-Haithami rah di dalam kitab beliau Majma' Az-Zawaid dan turut juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad r.a. di dalam Musnadnya iaitu daripada Sayyidina Abu Ayyub Al-Ansori r.a. bahawa telah bersabda Nabi s.a.w. "Janganlah kamu berduka sekiranya agama ini dipegang oleh ahlinya, tetapi berdukalah sekiranya agama ini dipegang oleh orang yang bukan ahlinya".


Semoga kita sentiasa berusaha menuntut Ilmu hingga ke liang lahad....Amin


Selawat dan salam kepada junjungan kita ,kekasih-Nya Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkanlah baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan...Amin)

beserta Ahlulbayt dan para sahabat baginda r.anhum yang sangat mengasihi akan umat ini.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t. , Tuhan empunya sekalian alam, Tiada daya upaya melainkan dari Allah s.w.t. , kepada-Nya jua kita akan kembali. Dan Allah s.w.t. jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui...


Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)


Al-Faqir wal Haqir Ilallah,

Salim Azham (MSA)


No comments:

Post a Comment